Dinasti Chalukya (
Bahasa Kannada: ಚಾಲುಕ್ಯರು tʃaːɭukjə) ialah
dinasti diraja
India yang memerintah sebahagian besar India selatan dan India tengah antara
abad ke-6 hingga
abad ke-12. Sewaktu itu, Dinasti Chalukya memerintah sebagai tiga dinasti yang berkait tetapi berasingan. Dinasti terawal yang dikenali sebagai "Empayar Chalukya Badami" memerintah dari Vatapi (
Badami moden) mulai pertengahan abad ke-6. Mereka mula menuntut kemerdekaan mereka apabila
kerajaan Kadamba di
Banavasi merosot dan dengan cepatnya, meningkat menjadi masyhur sewaktu pemerintahan
Pulakesi II. Selepas kemangkatan Pulakesi II,
Empayar Chalukya Timur menjadi sebuah kerajaan yang merdeka di
Deccan timur. Mereka memerintah dari
Vengi sehingga sekitar
abad ke-11. Di Deccan barat, kebangkitan
Dinasti Rashtrakuta pada pertengahan
abad ke-8 membayangi Dinasti Chalukya dari Badami sebelum dihidupkan semula oleh keturunannya,
Empayar Chalukya Barat, pada akhir
abad ke-10. Empayar Chalukya Barat memerintah dari Kalyani (
Basavakalyan moden) sehingga akhir abad ke-12.Pemerintahan Dinasti Chalukya menandai detik penting dalam sejarah
India Selatan serta juga zaman kegemilangan dalam sejarah
Karnataka. Suasana politik di India Selatan beralih daripada bentuk kerajaan kecil kepada empayar yang besar dengan kebangkitan Empayar Chalukya Badami. Buat pertama kali, kerajaan India Selatan mengambil alih kuasa dan menggabungkan seluruh wilayah di antara
Sungai Kaveri dan
Sungai Narmada. Kebangkitan empayar ini memperlihatkan kewujudan pentadbiran yang cekap, serta pengembangan perdagangan luar negeri dan gaya seni bina yang dikenali sebagai "seni bina Chalukya".
Kesusasteraan Kannada yang dahulu menerima naungan diraja daripada istana Rashtrakuta pada
abad ke-9 kini mendapat naungan yang ghairah daripada Empayar Chalukya Barat dalam tradisi
Jain dan
Veerashaiva.
Abad ke-11 memperlihatkan kewujudan
kesusasteraan Telugu di bawah naungan Empayar Chalukya Timur.